Trend Pendapatan Bulanan Graduan Malaysia 2017
Pahit untuk ditelan, apabila trend pendapatan bulanan graduan universiti bagi peringkat Ijazah pertama pada 2017 semakin parah apabila mencatatkan kejatuhan ketara sebanyak 84.89% bagi graduan yang berpendapatan RM3000 dan keatas. Graduan yang berpendapatan RM2000 dan ke bawah telah mengusai lebih separuh (55%) kelas pendapatan bulanan graduan bagi ijazah pertama.
Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, trend pendapatan bulanan graduan Malaysia pada tahun 2017 adalah lebih parah berbanding tahun-tahun sebelumnya dan paling teruk dalam tempoh 10 tahun.
Senario yang berlaku ini bukan sahaja parah pada segmen lepasan Ijazah pertama, malah berlaku pada segmen lepasan PhD. Peratusan mereka yang berpendapatan RM3000 dan ke atas telah jatuh dengan signifikan daripada 88.9% kepada 43%. Bertentangan dengan itu, semakin ramai pula lepasan PhD yang berpendapatan RM1500 dan ke bawah sebanyak 19.7% berbanding 2.7% pada tahun 2016 dan 0.5% pada tahun 2008.
Manakala bagi segmen lepasan sijil dan diploma, trend bagi dua segmen ini juga semakin parah apabila semakin ramai yang berpendapatan RM1500 dan ke bawah, dan semakin besar mereka yang berpendapatan RM2500 dan ke atas semakin mengecil.
Ironinya, tahun lepas Dato' Seri Najib Razak berbangga dengan pengumuman 1.9 juta pekerjaan telah dicipta sejak 2010 sehingga 2016 di bawah Program Transformasi Nasional. Malangnya, pengumuman tersebut telah dinafikan oleh Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 yang menunjukkan bahawa pengangguran anak muda adalah tertinggi dalam sejarah (10.7%) lebih tiga kali ganda kadar purata pengangguran nasional (3.1%).
Malah laporan Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa lebih separuh (61%) pengangguran adalah dikalangan anak muda.
'So apa cerita ini tuan perdana menteri?' Cukup-cukuplah bersandiwara di mata rakyat dengan nombor penyedap telinga yang jauh tersasar pada realiti yang dihadapi rakyat. Mungkin perdana menteri Malaysia tidak perasan, sebab nasi yang beliau makan pun jauh lebih mahal dari rakyat jelata.
Cukup-cukuplah dengan berita yang mengusarkan rakyat apabila kerajaan Malaysia terus berdiam diri dengan kleptokrat yang bermaharajalela dengan kapal mewah berbillion ringgit, Equanimity yang dibeli menggunakan wang rakyat. Akhirnya terpaksa juga, pihak berkuasa Indonesia dan FBI yang bertindak, di mana pihak berkuasa kita?
Generasi muda hari ini bukan sahaja akan terus tersepit dalam dilemma format ekonomi buatan Najib Razak (Najibnomics), malah generasi muda pada hari ini terus dilemma akan kelesuan pihak berkuasa untuk menangkap perompak wang rakyat terbesar yang kini terus bermaharajalela.
Copy & Paste
Faiz Fadzil Naib Ketua Pemuda Harapan
Comments